IPOH - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini telah memberi dimensi dan perspektif baharu kepada Barisan Nasional (BN) dalam merangka strategi menangani pilihan raya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, PRK itu amat unik kerana BN mengunakan pendekatan kreatif dan berinovasi untuk berkempen tanpa kelibat calonnya Datin Mastura Mohd Yazid yang terikat dengan tempoh edah.
Menurut beliau, sebelum ini pada setiap pilihan raya, BN dilingkungi oleh cara konvensional tetapi kali ini, mereka didedahkan dengan satu kedaan yang memerlukan pendekatan kreatif dan inovasi.
“Ianya memerlukan kreativiti kita untuk memikirkan bagaimana untuk mempastikan kehadiran Mastura tetap dirasai walaupun dia tidak hadir, kita akan gunakan pelbagai cara dan kaedah bagi pengundi merasai kehadirannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini pada Rabu.
Katanya, antara pendekatan yang akan diambil ialah memberi tumpuan kepada penggunaan media baru seperti laman sosial, “live streaming” dan video klip yang direkod serta pelbagai lagi kaedah.
“Salah satunya kita tidak boleh nafikan sekarang ini jaringan amat penting, sosial media sangat penting, pengaruh sosial media itu cukup kuat, ini semuanya dibawah media baru dan kita akan gunakan media baru.
“Kita ada 26 Pusat Daerah Mengundi (PDM), kita akan lihat kawasan-kawasan berkenaan sekiranya jaringan baik akan kita guna pendekatan media baru itu, di kawasan yang kurang baik jaringannya kita mempunyai pelbagai lagi kaedah lain,” jelasnya.
Tambahnya lagi, walaupun Mastura tidak dibenarkan meninggalkan rumahnya bagi tempoh 4 bulan 10 hari, namun ianya tidak menghalang rakyat Kuala Kangsar untuk bertandang ke rumahnya untuk berjumpa.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu Rang Undang-Undang Jenayah Syariah tidak akan menjadi isu ketika PRK itu kerana BN akan lebih menumpukan kepada kesinambungan perkhidmatan yang perlu diberikan kepada rakyat Kuala Kangsar.