KUALA KANGSAR - Penduduk Kuala Kangsar perlu menolak calon bebas, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang menawarkan diri untuk bertanding di PRK Kuala Kangsar kerana disyaki mempunyai agendanya yang tersendiri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, masyarakat seharusnya menolak calon itu kerana tidak menyatakan matlamat sebenarnya bertanding dalam pilihan raya itu.
Menurutnya, matlamat calon tersebut untuk bertanding harus dipersoalkan kerana seseorang yang bertanding haruslah tidak bersifat peribadi dan disebabkan protes semata-mata.
"Dia tidak wajar disokong rakyat Kuala Kangsar kerana yang nak dipilih nanti merupakan wakil kita, yang akan bawa suara kita ke Parlimen.
"Calon seperti ini berjuang untuk apa, bertanding untuk apa, adakah dia benar-benar boleh berkhidmat untuk rakyat, saya rasa tidak," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Ibu Tunggal Kuala Kangsar, di Dewan Jubli di sini pada Selasa malam.
Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar menempelak kenyataan Datuk Hamidah Osman yang mengatakan PRK Kuala Kangsar pelik kerana calon BN tidak keluar berkempen.
Tegasnya, Hamidah sepatutnya mengkaji sejarah sebelum mengeluarkan kenyataan kerana perkara tersebut bukanlah baru dalam arena politik di Malaysia.
Mengulas lanjut, isu tidak keluar berkempen bukanlah isu besar kerana pembangkang juga pernah melakukan perkara sama, namun tidak pula menjadi masalah.
"Kenapa pelik bila BN buat tapi bila parti lain buat tak pelik pula? Agama tidak melarang malah ia juga telah mendapat pandangan daripada Mufti Perak.
"Saya rasa pandangan Hamidah itu tidak tepat dan tidak tahu sejarah, beliau sepatutnya kena kaji dulu perkara ini.
"Yang pernah bertanding tetapi tidak hadir itu datang dari kalangan orang yang dia sokong sekarang ini. Sepatutnya dia kaji dulu dan tengok pada orang yang dia sokong sekarang," ujarnya lagi.