CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan negeri Kelantan disaran supaya memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk membanteras pencerobohan haram di kawasan Lojing, Gua Musang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, saranan itu bagi membolehkan Ops Gading dilakukan untuk memulihkan kawasan itu seperti yang dilakukan di Pahang.
Menurut beliau, keadaan kawasan Lojing sudah menjadi semakin teruk dan terdapat kawasan perkuburan Orang Asli yang diceroboh secara haram.
Beliau menambah, penguatkuasaan boleh dilakukan jika kerajaan negeri memohon kepada kerajaan pusat untuk mengawal pencerobohan itu.
"Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan ada mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mampu untuk melakukan penguatkuasaan untuk menghentikan pencerobohan haram ini," katanya ketika melawat pembinaan jambatan Bailey di Sungai Ulu Telom, Batu 49, Kuala Terla, pada Rabu.
Shahidan berkata, keadaan beberapa kawasan di Kelantan mempunyai risiko tinggi untuk dilanda banjir apabila hujan lebat kerana aktiviti pencerobohan yang dilakukan.
Menurutnya, keadaan Lojing yang hampir dengan Cameron Highlands juga akan menyebabkan kawasan tumpuan pelancong itu terjejas sekiranya dibiarkan begitu sahaja.
"Kalau kerajaan Kelantan memohon untuk kita melakukan penguatkuasaan, kita akan mempertimbangkannya.
"Saya akan memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk langkah selanjutnya mengenai hal ini," katanya.
Sementara itu, jambatan yang runtuh di Pos Terisu, Kuala Terla Ahad lalu siap dibina hari ini selepas empat hari masa diambil untuk menyiapkannya.
Shahidan berkata, proses pembinaan jambatan sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijangka siap pada Khamis namun ia berjaya disiapkan sehari lebih awal.
Menurut beliau, usia jambatan yang menjangkau 48 tahun dan arus deras yang mengalir dari sungai merupakan faktor utama ia runtuh dalam kejadian yang berlaku Ahad lalu.
"Objektif utama kita adalah untuk membaiki semula jambatan ini bagi membolehkan masyarakat Orang Asli berhubung dengan dunia luar.
"Jambatan sementara antara jambatan terpantas yang berjaya disiapkan dan ia mampu bertahan sehingga setahun hingga dua tahun sebelum jambatan sementara siap dibina," ujarnya.