top of page
muinsapidin

Anak Arwah Wan Khair-il Sebak, Mohon Semua Menyokong Ibu Dalam Ucapan Sulungnya

KUALA KANGSAR: "Bang, izinkan Tura meneruskan perjuangan ini, itulah doa yang dipanjatkan oleh Datin Mastura Mohd Yazid, 55, setiap kali menunaikan solat untuk menyambung legasi sebagai calon Parlimen Kuala Kangsar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Rahsia doa itu dikongsi oleh anak sulungnya, Wan Emir Astar Wan Mohd Khair-il Anuar ketika menyampaikan amanat ibunya dalam ucapan sulungnya pada Selasa malam.

Ucapan ringkas itu dilakukan di hadapan lebih 500 ibu tunggal dalam program Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal Kuala Kangsar sempena Jelajah Konvoi Turun Padang Bantu Rakyat di Dewan Jubli, di sini.

"Saya mohon, doakanlah ibu saya kerana beliau amat memerlukan sokongan daripada semua penduduk terutamanya wanita dan ibu tunggal yang memahami apa yang dilaluinya kini.

"Setiap malam, kami anak-anak menyaksikan sendiri bagaimana ibu bergenang air mata memohon doa kepada Pencipta agar dipermudahkan jalan untuk beliau meneruskan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar, sekiranya menang," ujarnya.

Emir, dalam ucapannya menyampaikan amanat ibunya yang menzahirkan rasa sedih kerana tidak dapat bersama dengan ibu-ibu tunggal di Kuala Kangsar yang begitu dekat dan memahami keadaan yang dilaluinya.

"Salam sayang beliau titipkan buat semua ibu tunggal dan hadirin pada malam ini, beliau ingin datang namun tidak dapat berbuat demikian," ujarnya.

Kata Emir, pemilihan ibunya sebagai calon untuk meneruskan legasi arwah bapanya merupakan satu ketentuan Ilahi dan sebagai anak-anak, mereka amat mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua.

"Ibu-ibu yang disayangi, ibu kesayangan kami hanyalah meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh arwah bapa yang pada kami cukup istimewa.

"Sekiranya kemenangan ini tercapai, maka inilah peluang ibu kami untuk mendekati kesemua masyarakat di Kuala Kangsar, seterusnya meneruskan legasi dan menyambung amanah oleh bapa kami sewaktu beliau masih hidup," katanya.


15 views0 comments
bottom of page