IPOH - Dalam usaha untuk mentransformasikan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke arah 5 bintang dan berkelas dunia, MBI membuka lembaran baru dalam dunia penyiaran dengan melancarkan Radio MBI.
Radio MBI akan ke udara melalui internet mulai hujung Jun atau awal Julai 2016 akan mendekatkan hubungan secara langsung dan tanpa sempadan dengan wargakota Ipoh.
Wargakota boleh berinteraksi secara langsung dengan MBI untuk menyampaikan permasalahan, permohonan dan penghargaan.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, MBI akan menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri Perak yang melaksanakan langkah itu dalam usaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada wargakota Ipoh.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa, beliau memberitahu, pelbagai rancangan akan disiarkan dalam Radio MBI seperti segmen Santai Pagi, Teh Tarik dan Santai Petang.
“Semoga pengwujudan Radio MBI akan memberi lebih banyak platform dan pilihan kepada wargakota Ipoh untuk menjalinkan kerjasama dengan MBI dalam suasana yang positif dan santai,” katanya.