IPOH - Polis Perak berjaya menahan 110 ahli kongsi gelap yang dikenalpasti terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah dalam operasi khas `Ops Cantas Silver’ yang dijalankan dalam tempoh sebulan bermula 14 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam tempoh operasi itu seramai 36 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297).
Menurut beliau, seramai 35 suspek telah dikeluarkan kelulusan tangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala 32 orang ditangkap di bawah tahanan lokap polis.
Katanya, bagi tempoh Januari sehingga Mei 2016, polis Perak telah menangkap 61 orang di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 meliputi pelbagai kegiatan jenayah.
“Hasil daripada operasi yang dijalankan ini mendapati bahawa jenayah kekerasan, termasuk samun telah menurun pada bulan Mei di Kontinjen Perak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Selasa.
Beliau berkata, pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan maklumat sehingga memberikan kejayaan kepada pihak polis dalam melaksanakan operasi berkenaan.
Beliau turut memberitahu, kejadian curi motosikal atau kenderaan telah menurun buat kali pertamanya di Perak di mana pada Mei kes curi motosikal atau kenderaan telah menurun 0.5 peratus dan ia merupakan pertunjuk yang baik.