KUALA KANGSAR - Selepas mendapat perhatian media berikutan dilanda banjir besar serta berlangsungnya istiadat pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak yang ke-35 tahun lalu, Kuala Kangsar bakal sekali lagi menjadi tumpuan berikutan pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 18 Jun ini.
PRK bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Jika berada di Kuala Kangsar, jangan melepaskan peluang untuk menikmati keenakan laksanya terutama yang terdapat di medan selera di tebing Sungai Perak.
Nikmatilah juga kesedapan cendol lemak manisnya dan setelah kenyang jangan lupa membawa pulang labu sayong sebagai cenderahati.
Selain itu Kuala Kangsar yang dikenali sebagai 'Bandar Diraja, Bandar Warisan Budaya' sesungguhnya memiliki banyak bangunan bersejarah dan budaya antaranya Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah, Istana Kuning (Muzium Diraja), Galeri Sultan Azlan, Menara Pavilion, Jambatan Sultan Abdul Jalil, Jambatan Victoria dan sudah tentu Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Bagi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Shahrom Abd Malik, tinggalan sejarah di Kuala Kangsar merupakan kesinambungan lambang Kesultanan Melayu Perak yang wujud sejak 100 tahun lalu.
"Kita di Kuala Kangsar mewarisi tinggalan ini daripada pelbagai budaya selain warisan seni kraftangan dan warisan sejarah makam-makam sultan terdahulu," katanya.
Bagi memperteguh peninggalan warisan itu, Kuala Kangsar perlu melalui fasa pembaharuan untuk kekal berzaman dengan fasa pertamanya dilaksanakan sempena pertabalan Sultan Nazrin, katanya.
"Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah penambahbaikan mercu tanda (replika labu sayong) bandar ini, pembaharuan jejantas, penambahbaikan tanda nama jalan, pengelokan aksesori jalan, pengindahan landskap serta lampu jalan," ujarnya.
Menurut Shahrom, MPKK berazam untuk memantapkan lagi keindahan Bandar Kuala Kangsar bagi mencermin dan menonjolkannya sebagai Bandar Diraja.
Bagi menambah ikon sejarahnya, Destination Perak Sdn Bhd memperkenalkan perkhidmatan menaiki bot khas atau Balai Gambang yang dinaiki Sultan Nazrin sempena pertabalan baginda yang lalu, untuk orang ramai menyusuri Sungai Perak.
"Balai Gambang akan diperkukuhkan bagi memastikan ia menjadi pelayaran regular. Bot yang boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa ini akan belayar selama setengah jam.
"Dalam bot itu pengunjung juga didedahkan tentang sejarah pembinaan Balai Gambang selain sejarah kesultanan Melayu Perak sendiri," kata Pengurus Besar Destination Perak Sdn Bhd, Abd Raheem Mohamad sambil menambah harga tambang bagi orang dewasa ialah RM15 manakala bagi kanak-kanak dan warga emas sebanyak RM10.
Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Bhd, Mohamad Kamil Shafie pula berkata Dataran Lembah telah dijadikan lokasi gerbang malam untuk peniaga menjalankan perniagaan sekali gus menjadi tarikan pengunjung.
Kerajaan negeri masih meneruskan pembangunan pelancongan di Kuala Kangsar termasuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dibina galeri budaya, tambahnya.
Jika berada di Kuala Kangsar pada PRK nanti, apa salahnya bersahur dan berbuka puasa dengan laksa dan cendolnya. - Bernama