top of page
muinsapidin

PAFA Lantik Weigang Ketua Jurulatih Dan Ketua Pengarah Teknikal Baru

IPOH - Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) melantik Karl Heinz Weigang sebagai Ketua Jurulatih dan Ketua Pengarah Teknikal PAFA.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, kontrak pelantikan telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak pada 25 Mei 2016.

Menurut beliau, Weigang adalah personaliti yang tidak asing lagi dalam kancah bolasepak Malaysia dan negeri Perak dengan mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang Pengurusan dan Kejurulatihan bolasepak.

Beliau memberitahu, Weigang bertanggungjawab mengendalikan Pasukan Liga Super Perak sebagai Ketua Jurulatih dan akan di bantu oleh Syamsul Mohd Saad disamping menyelia kejurulatihan Piala Presiden, Piala Belia dan menyediakan Program Pembangunan Kejurulatihan untuk PAFA.

“Pelantikan dan peranan Karl Heinz Weigang adalah bersesuaian dengan Perancangan Tiga Tahun Pembangunan Bolasepak Negeri Perak yang telah ditetapkan oleh PAFA,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Isnin.

Abdul Puhat berkata, Syamsul Saad akan kekal di dalam Pasukan Liga Super Perak sebagai Penolong Jurulatih dan PAFA mempunyai perancangan masa depan untuk jurulatih itu di samping semua jurulatih bolasepak di bawah naungan PAFA.

“Kita menetapkan sasaran pemerolehan Lesen AFC Pro A, FAM/AFC ‘A’ dan ‘B’ sebelum tahun 2018 bagi mematuhi syarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan Penswastaan Liga Super Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, PAFA berharap pelantikan Weigang dapat membentuk dan memberi ilmu serta pengalaman di dalam sistem kejurulatihan dan taktikal tahap tertinggi termasuk pendedahan kursus kejurulatihan di luar negara kepada semua jurulatih bolasepak yang bernaung di bawah PAFA.

Beliau menambah, PAFA percaya gandingan Weigang sebagai Ketua Jurulatih dan jurulatih-jurulatih lain dapat memantapkan kekuatan dan prestasi pasukan The Bos Gaurus di dalam saingan baki Liga Super 2016, TM Piala Malaysia 2016, Piala Presiden dan Piala Belia 2016.


37 views0 comments
bottom of page