top of page
muinsapidin

Lagi Peluang Untuk Guru KAFA Di Perak

IPOH - Selepas memperkenalkan beberapa kemudahan dan insentif kepada guru-guru KAFA, kerajaan negeri Perak memperkenalkan satu lagi peluang untuk mereka. Mulai tahun ini, guru-guru KAFA yang berpengalaman berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Pengajian Islam di Sekolah Rendah dengan Kepujian) di Asia e University (AeU).

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), AeU, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) dan Pusat Perkembangan Minda Darul Ridzuan (PPMDR). Majlis mendatangani kerjasama antara semua pihak berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria di Institut Tadbiran Islam (INTIM) di sini pada Isnin. Hadir sama Presiden AeU, Prof Datuk Ansary Ahmed, Ketua Pegawai Eksekutif PPMDR, Muhammad Faizal Tahiruddin, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIPk, Musanif Muhamad Noh dan Ketua Penolong Bahagian Akademik dan Pendidikan Berterusan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Gazari Osman. Drs Nizar berkata, program ini membuka peluang kepada guru-guru KAFA di seluruh negeri untuk meningkatkan ilmu dan taraf pendidikan mereka, lebih-lebih lagi dalam usaha melahirkan modal insan berilmu dan beramal. Sementara itu, Prof Ansary berkata, melalui program itu, guru-guru KAFA yang berpengalaman akan diberi pengecualian kredit kira-kira 1/3 daripada kredit pelajar lain. Beliau menambah, mereka boleh menamatkan pengajian separuh masa hanya dalam tempoh tiga tahun. Beliau memberitahu, setakat ini, kira-kira 100 guru KAFA di Perak telah mendaftar dan bilangan itu dijangka meningkat kepada 400 orang. "Berdasarkan bilangan lebih kurang 3,100 guru KAFA sekarang, saya percaya ramai lagi yang akan mengambil peluang ini," katanya.


82 views0 comments
bottom of page