top of page
muinsapidin

Empat Beradik Nyaris Rentung

BENTONG - Empat beradik nyaris rentung apabila rumah pangsa didiami di Taman Kolej, di sini musnah terbakar kelmarin.

Ketua Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.49 malam dan empat jentera dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi terbabit, bomba mendapati api sedang marak dan kebakaran itu memusnahkan hampir sebahagian rumah tersebut.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut kerana semua kanak-kanak terbabit berjaya diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, ketika kejadian, ibu bapa empat beradik berusia di antara dua hingga 11 tahun itu tiada di rumah namun mereka sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Zainal Abidin berkata, operasi memadamkan kebakaran turut dibantu Bomba Sukarela Perting.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api dan memadamkan sepenuhnya kebakaran.

"Kemusnahan akibat kebakaran ini dianggarkan sebanyak 80 peratus dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penduduk setempat kerana bertindak pantas menelefon bomba dan membolehkan anggotanya segera menyelamatkan kesemua kanak-kanak yang terperangkap.

“Buat sementara waktu, kesemua mangsa ditempatkan di rumah kakaknya yang juga tinggal di kawasan taman perumahan tersebut,” katanya.


9 views0 comments
bottom of page