top of page
muinsapidin

Persediaan Menjelang Ramadan

RAMADAN membawa doa dan harapan. Dalam tempoh seminggu lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan penuh keberkatan, bulan yang mulia.

Di bulan ini kita diwajibkan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta mengawal segala nafsu yang selama ini mungkin menjadi kemudi jiwa.

Gambar Hiasan

Pastinya setiap insan mempunyai iltizam dan harapan yang ingin dilakukan sempena kedatangan Ramadan kali ini. Ada yang sudah menanam azam untuk melaksanakan ibadah solat terawih dengan lebih sempurna lagi tahun ini. Malah dalam masa yang sama bagi sesetengah individu bulan Ramadan adalah pembuka pintu rezeki buat mereka untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Walau apa niat sekalipun, yang pasti bulan yang penuh barakah ini wajar diisi dengan pelbagai perkara yang boleh memberi manfaat untuk semua. Namun apa yang dikesalkan, boleh dilihat setiap kali Ramadan, perbelanjaan harian juga turut meningkat. Di mana silapnya?

Situasi ini seolah-olah sudah menjadi trend semasa. Sepatutnya jika diikutkan perbelanjaan boleh dikawal jika kita bijak mengendalikannya. Jangan mudah kelabu mata dengan pelbagai tawaran dan promosi yang dibuat oleh peniaga.

Kedatangan Ramadan juga turut dimeriahkan dengan jualan bazar. Ramai yang menjadikan alasan berbelanja lebih untuk membeli makanan tidak salah. Adakah pendapat ini dipersetujui?

Bagi penulis jika kita boleh berjimat dengan memasak sendiri di rumah apa salahnya. Itu lagi baik dan dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Bagaimanapun, mungkin menjadi sesuatu yang janggal sekiranya kita tidak berbelanja di bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka. Tambahan pula warga kota yang sentiasa sibuk dengan kerjaya dan tidak banyak masa untuk memasak di rumah. Begitu juga mereka yang masih bujang.

Tidak salah sebenarnya untuk mengunjungi bazar Ramadan jika kekangan masa menjadi punca. Tapi pastikan anda membuat perancangan sebelum ke bazar seperti buat senarai apa menu yang hendak dibeli berserta anggaran kos. Dengan cara ini, insya-Allah perbelanjaan lebih terkawal.

Buat persiapan awal

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak-anak, ada eloknya membuat persiapan awal untuk hari raya. Belilah sedikit demi sedikit kelengkapan yang utama, pasti anda tidak terlebih bajet di kemudian hari.

Jika langkah ini dilakukan lebih awal, semestinya kita tidak akan bersesak-sesak untuk membeli kelengkapan raya pada saat akhir dan banyak masa boleh diluangkan untuk melaksanakan amal ibadah.

Apa-apa pun tepuk dada, tengoklah status kewangan anda. Kalau anda mampu tidak mengapa, kalau tidak mampu ukurlah baju di badan sendiri. Eloklah gunakan kewangan yang ada itu untuk berbelanja pada bulan seterusnya kerana banyak lagi yang perlu dirancang untuk kesejahteraan keluarga. Ramadan bulan perjuangan

Ramadan adalah bulan yang istimewa kepada umat Islam. ALLAH SWT menganugerahkan Ramadan sebagai bulan untuk umat Islam mengumpul pahala berganda.

ALLAH SWT berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka ALLAH SWT berfirman, kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (pada siang hari) hanya kerana-Ku” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

Hadis Qudsi ini sudah memadai menggambarkan kehebatan pahala yang boleh dikutip pada bulan Ramadan. Sebab itulah, pada bulan ini umat Islam memperbanyakkan solat sunat termasuk terawih, bersedekah, tilawah al-Quran dan amal soleh yang lain.

Ramadan bukan bulan tidur kerana penat berpuasa, bukan juga bulan berehat daripada bekerja. Ramadan adalah bulan perjuangan melawan hawa nafsu, lapar dan dahaga.

Peperangan Badar menentang kaum kafir Quraisy berlaku pada bulan Ramadan. Al-Quran juga diturunkan pada bulan Ramadan. Pembukaan kota Makkah juga berlaku pada bulan tersebut.

Semua ini menunjukkan kehebatan peribadi para sahabat dalam mempertahankan akidah Islam.

Mereka tidak menjadikan alasan Ramadan sebagai halangan untuk berjuang dan mempertahankan tanah air. Semua peraturan yang wujud dalam bulan Ramadan adalah bertujuan mendidik dan membimbing umat Islam menjadi umat yang sabar dan kuat.

Ramadan, yang paling sibuk adalah kaum ibu dan wanita. Mereka bukan sahaja berlumba-lumba menghabiskan juzuk dalam al-Quran, bersedekah dan terawih, malah berusaha memenuhi keperluan keluarga dengan makanan yang sedap dan enak.

Ibulah yang paling sibuk menyediakan juadah berbuka puasa.

Bagi wanita yang berkerjaya, bazar Ramadan adalah jalan ringkas bagi menyediakan juadah berbuka kepada keluarga. Namun begitu, suasana berpuasa menyebabkan pembeli menjadi rambang mata dan semua makanan menjadi sedap dan enak.

Tanpa menyedari keperluan untuk berbuka itu sedikit sahaja berbanding keinginan nafsu. Jumlah juadah yang dibeli melebihi tahap pengambilan makanan itu sendiri. Berlakulah pembaziran dan pembuangan makanan secara sengaja.

Perkara ini boleh dielakkan sekiranya kita mengambil kira keperluan sebenar sewaktu berbuka puasa. Sebaiknya menyediakan senarai makanan yang perlu dibeli dan berdisiplin ketika membeli. Ini boleh mengelakkan pembaziran yang tidak wajar.

Berpuasa juga menyebabkan badan akan mengalami kekurangan air. Kesannya tubuh akan cepat penat dan lemah. Sebab itulah umat Islam dinasihatkan mengambil jumlah air yang mencukupi dan makanan yang mengenyangkan. Mengambil suplemen sangat digalakkan bagi mengekalkan kesihatan dan tenaga badan.

Bersahur adalah galakan yang disunatkan kepada umat Islam. Bersahur bertujuan mengekalkan kestabilan badan, tenaga dan emosi agar kuat dan bertahan sehingga tiba waktu berbuka puasa.

Menahan diri daripada lapar bukanlah satu-satunya tujuan berpuasa. Tujuan kewajipan berpuasa yang sebenar ialah melatih umat Islam dengan kehidupan yang ringkas bersabar dengan hawa nafsu. Kemahiran menahan nafsu inilah sebenarnya terapi kepada emosi dan pembangunan jiwa rohani yang berkesan.


25 views0 comments
bottom of page