top of page
muinsapidin

10,000 Ambil Bahagian Dalam Fit Malaysia@Perak

KUALA KANGSAR - "Kalau tiada minat dan semangat, rasanya semua yang datang hari ini masih lagi tidur di atas tilam empuk, lebih-lebih lagi waktu awal pagi hujung minggu macam sekarang".

Itu reaksi seorang daripada ribuan peserta FitMalaysia@Perak, Sabariah Salleh ketika ditemui di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar pada Ahad.

Manakan tidak, hujan renyai-renyai yang turun sejak awal pagi tidak menjadi penghalang buat 10,000 peserta yang datang dari seluruh pelusuk negeri untuk meneruskan misi bagi kategori masing-masing.

Menurut Sabariah yang turut ditemani suami, Abduk Malek Ismail, orang ramai sudah pun berkumpul di sekitar Dataran Pavillion sejak jam 5 pagi lagi demi memastikan kelengkapan dan persediaan dibuat sebaik mungkin.

"Kalau nak ikutkan saya selalu teman suami di program-program sukan yang dia sertai, dia memang minat dalam bidang sukan terutama berbasikal.

"Hari ini pun kita dapat lihat ramai peserta datang, ada yang datang jam 5 pagi lagi untuk pendaftaran dan buat persiapan walaupun hujan masih lebat waktu itu," katanya.

FitMalaysia@Perak menyediakan pelbagai acara dan aktiviti menarik kepada orang ramai dengan beberapa kategori seperti berbasikal, berjalan Kaki dan larian.

Ia melibatkan jarak sejauh 30km, 10km dan 5km dengan kategori Larian mendapat penyertaan paling ramai.

Kehadiran Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaludin bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kategori berbasikal turut mencuri tumpuan ramai.

Sementara itu, menurut Abdul Malek rata-rata masyarakat di Kuala Kangsar sememangnya gemarkan program sebegini dan penyertaan yang diterima tidak pernah menghampakan.

"Penduduk Kuala Kangsar memang 'sporting' bagi saya, apa-apa acara sukan tidak kiralah kategori apa pun memang orang di sini datang menyokong.

"Mungkin orang anggap Kuala Kangsar macam sepi tapi bila tiba program-program menarik, kami memang bawa ahli keluarga, kawan-kawan datang ramai-ramai untuk sama meriahkan," katanya yang turut terlibat dalam Larian 5km di program tersebut.

Kemeriahan program tidak terhad kepada tiga acara sahaja kerana masih banyak aktiviti menarik disediakan khususnya untuk golongan wanita melalui senamrobik dan zumba.

Pelbagai gerai jualan dan pameran melibatkan barangan sukan dan demonstrasi pengunaan peralatan gym turut diadakan.

Tidak dinafikan kesedaran masyarakat kini lebih menjurus kepada peri pentingnya faktor kesihatan dalam kehidupan seharian di samping penerimaan mereka menerusi program sukan sebegini.


22 views0 comments
bottom of page