KUALA KANGSAR - Datin Mastura Yazid yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar menyifatkan pemilihannya sebagai amanah yang cukup besar bagi meneruskan legasi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Sambil berterima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan BN, Mastura bertekad untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh Allahyarham.
"Ini adalah amanah berat yang diberikan kepada saya kerana ia bukan hanya sekadar menggalas tanggungjawab dan kepercayaan parti kepada saya tetapi kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini disandang oleh arwah suami saya sendiri,'' katanya dalam satu kenyataan melalui rakaman video selepas pengumumannya sebagai calon. Pemilihan Mastura, 55, diumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN di Bilik Gerakan BN PRK P067 Kuala Kangsar di Safari Resort di sini, petang Sabtu.
Mastura berkata, beliau sekadar penyambung kepada perjuangan serta memikul amanah untuk meneruskan khidmat bakti arwah suaminya kepada orang Kuala.
Tambahnya, beliau memanjatkan doa agar sokongan orang Kuala kepada parti dan arwah dapat diteruskan pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada 18 Jun 2016 itu kelak.
"Pilihan raya ini bukan soal saya, tetapi Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan, seperti mana amanah yang pernah digalas oleh arwah suami saya dalam menabur bakti kepada rakyat.
Memberi penjelasan, Datin Mastura berkata, sepanjang tempoh Edah pergerakannya serta penglibatan saya amat terbatas dan beliau memohon maaf kepada semua kerana jika menurut amalan parti dan gerak kerja.
Ini kerana , selaku orang yang dinamakan sebagai calon beliau seharusnya berada bersama-sama seluruh jentera parti dan masyarakat untuk berkempen bagi berkongsi semangat untuk memenangi pilihan raya kecil ini.
"Batas agama seperti yang dijelaskan dalam hukum dan pandangan Mufti serta para agamawan, menghadkan pergerakan saya sebagai isteri yang masih di dalam tempoh EDAH selama empat (4) bulan sepuluh (10) hari dan edah.
"Tempoh syarak ini wajib saya patuhi. Sehubungan itu saya amat mengharapkan, kefahaman seluruh jentera parti, khususnya di peringkat Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi akan kedudukan saya ini.
"Insha Allah, sekiranya diberikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen nanti, saya akan melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh arwah suami saya,"katanya.