top of page
muinsapidin

Mastura Calon BN Di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR:BN Perak hari ini mengumumkan Datin Mastura Yazid, isteri kepada arwah Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan bermula pada 4 Jun ini.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di hadapan ribuan penyokong BN di Safari Resort, di sini pada petang tadi.

Datin Mastura Yazid, merupakan seorang graduan undang-undang daripada universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat orang anak, Datin Mastura juga merupakan seorang yang bergiat dalam dunia politik dan menjadi AJK UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Meskipun tidak menyandang sebarang jawatan rasmi namun ramai mengetahui Datin Mastura merupakan penasihat peneman setia arwah Datuk Wan dalam menggerakkan kerjanya sebagai wakil rakyat di Bukti Chandan dan seterusnya mewakili Parlimen Kuala Kangsar.

Malah,perkara tersebut turut diakui oleh keluarga terdekatnya yang mengetahui tujuan Datin Mastura merehatkan diri untuk membantu fokus dan transformasi yang dibawa ke Kuala Kangsar oleh arwah suaminya.

Umum juga sering melihat kelibat Datin Mastura yang merupakan seorang yang berani mengeluarkan pendapat dan lantang bersuara untuk sebarang perihal melibatkan kebajikan penduduk di sekitar Kuala Kangsar.

Pilihan Raya Kecil ( PRK) parlimen Kuala Kangsar P067 diadakan berikutan nahas helikopter yang melibatkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, arwah Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.


20 views0 comments
bottom of page