top of page
muinsapidin

Ditahan Ketika Leka Lepas Gian

TELUK INTAN - Tiga sekawan yang leka melepaskan gian di bahagian dapur sebuah rumah antara 61 penagih ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hilir Perak dalam Operasi Perdana, awal pagi semalam.

Mokhtarudin (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai AADK Hilir Perak,

Najmiah Hanafi (kiri) dalam sidang media semalam.

Ketika diserbu, rumah itu turut dihuni ibu kepada salah seorang penagih terbabit dan kehadiran anggota AADK mengejutkan warga emas berkenaan.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri Perak, Mokhtarudin Mohamad berkata, tiga penagih itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota AADK ke rumah berkenaan.

"Namun usaha mereka gagal dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang media sempena Operasi Perdana Siri 1 AADK Hilir Perak, semalam.

Mokhtarudin berkata, dalam satu lagi serbuan, seorang anak lelaki imam di sebuah kampung dekat sini turut ditahan kerana positif dadah jenis morfin.

"Imam itu juga terkejut kerana tidak menyangka anaknya yang baru dua hari pulang dari sekolah pondok positif dadah," katanya.

Katanya, dalam operasi dua hari itu, seramai 72 individu yang menjalani ujian air kencing dan 61 ditahan selepas didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Kesemua penagih yang berusia antara 19 hingga 64 tahun ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.


19 views0 comments
bottom of page