KUALA KANGSAR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mensasarkan kutipan sebanyak RM1.6 bilion bagi bayaran balik akan berjaya dicapai sehingga penghujung tahun ini. Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat Januari lepas, jumlah kutipan semula yang telah diperoleh PTPTN menunjukkan angka yang baik iaitu sebanyak RM980 juta.
Menurut beliau,meskipun terdapat peningkatan dari segi kutipan balik secara bulanan yang diperoleh oleh pihaknya, namun inisiatif dan usaha berterusan masih terus dilaksanakan untuk mencapai sasaran yang sepatutnya.
“Pada tahun lalu, PTPTN berjaya mengutip sebanyak RM1.4 bilion, melepasi sasaran jumlah kutipan awal sebanyak RM750 juta.
“Jika diikutkan unjuran dan sasaran daripada RM55 bilion yang sudah kita keluarkan, paling kurang kita perlu kutip balik sebanyak RM15 bilion, tapi setakat Februari lalu, jumlah yang diperoleh hanya RM7.49 bilion (49 peratus),” katanya. Shamsul Anuar berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Mesra Pelajar bersama PTPTN dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin di Chandan Puteri, di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai pemotongan gaji penjawat awam, Shamsul Anuar memberitahu, proses berkenaan berjalan dengan baik di samping dapat membantu meningkatkan pembayaran balik pinjaman. Tambahnya, pihak PTPTN masih lagi dalam peringkat mengkaji sistem pengurusan perbadanan yang terbaik selain merancang usaha-usaha lain melibatkan pelbagai sektor untuk meningkatkan lagi jumlah bayaran semula oleh peminjam di luar sana. “Penerima pembiaya kita terdiri daripada pelbagai kelompok, sektor awam, swasta dan syarikat-syarikat milik kerajaan, sebab itu pendekatan kita bebeza, tak boleh sama. “Penerima pembiaya dalam kelompok berbeza, jadi kaedah untuk dapatkan pembayaran balik juga berbeza, yang penting nak capai sasaran kita,” ujarnya.