TAIPING - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara akan melahirkan warga bersifat robot yang berfungsi secara mekanikal jika kekuatan rohaniah tidak disemai sejak di bangku sekolah. Baginda bertitah, kekuatan dalaman termasuk rohani merupakan benteng utama mencegah serta melindungi manusia daripada mudah dipengaruhi nafsu dan bersifat tamak haloba. "Kekuatan dalaman dan kekuatan rohani akan menghindar manusia daripada melakukan perkara yang melanggar prinsip kemanusiaan, bercanggah dengan undang-undang dan bertentangan dengan ajaran agama," titah baginda pada sambutan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenaan menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Guru Perak kepada bekas guru Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir, 72, yang juga bekas Exco Hal Ehwal Pertanian pada 1982 hingga 1988. Titah baginda, Jawatankuasa Kabinet pada 1979 telah merumuskan dan memberi penekanan mengenai kepentingan aspek pembentukan nilai dalam sistem pendidikan negara. Sultan Nazrin bertitah, laporan itu juga menegaskan tentang kepentingan melahirkan rakyat yang bersatu padu, terlatih dan berdisiplin selain menekankan kepada pendidikan akhlak. "Laporan tersebut menggambarkan matlamat dan hasrat pendidikan negara tidak akan tercapai jika tidak berlandaskan nilai luhur dan murni," titah baginda. Baginda bertitah, bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai murni, pencapaian sesebuah sesekolah tidak boleh terlalu dipengaruhi dengan ukuran yang mirip kepada kuantiti atau taksub dengan markah peperiksaan. "Melahirkan insan berjiwa murni lebih penting diutamakan daripada sekadar melahirkan insan berkelulusan akademik yang cemerlang. "Semakin tinggi kelulusan pendidikan seseorang insan, semakin besar tanggungjawab yang diserahkan, menjadikan semakin perlu untuk insan tersebut disauhkan sifatnya dengan nilai murni," titah baginda. Titah Sultan Nazrin, walaupun negara mempunyai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, aspek berkaitan nilai murni tidak harus dipinggirkan terutama dalam keadaan semasa yang semakin dipengaruhi materialisme. Mengenai tema sambutan Hari Guru 2016 'Guru: Pembina Negara Bangsa', Sultan Nazrin bertitah ia menggambarkan peranan warga pendidik sebagai arkitek masyarakat dan jurutera sosial dalam membina negara dan bangsa yang berjaya serta gemilang. "Tidak semua pelajar akan berakhir sebagai Presiden atau Perdana Menteri di sebuah negara atau menjadi Ketua Hakim di mahkamah atau Naib Canselor di universiti atau Ketua Eksekutif di syarikat ternama. "Namun, setiap pelajar boleh dicanai menjadi aset berharga dan warga patriotik kepada negara dan bangsanya," titah baginda. Pada majlis itu, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada semua warga guru atas bakti serta sumbangan kepada anak bangsa sambil mendoakan agar khidmat murni mereka dirahmati Allah. "Sedarlah! di belakang kejayaan setiap kita, ada guru yang berjasa besar, mereka tanpa jemu, tanpa bosan dengan sabar, tekun, jujur dan ikhlas memberi kita bimbingan, dorongan, asuhan dan panduan. "Jasa bakti guru dan pengorbanan guru untuk kejayaan kami, amatlah kami sanjung dan hargai," titah Sultan Nazrin - BERNAMA