top of page
muinsapidin

Pastikan LKPIM Kekal Relevan – Tuanku Najihah

IPOH - Para pengerak Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) harus peka dengan situasi semasa di samping memenuhi keperluan asas ahli masyarakat yang memerlukan serta memikirkan saluran terbaik, bagi memastikan kewujudannya kekal relevan.

Demikian titah Yang DiPertua LKPIM, Tuanku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin pada Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan LKPIM Ke-55 di Hotel Impiana, Ipoh pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi LKPIM Perhubungan Negeri Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli serta perwakilan bagi negeri masing-masing serta pemerhati.

Baginda turut mengajak perwakilan supaya melaksanakan usaha dari sudut pemberian ilmu dan maklumat kepada masyarakat, selain bersiap siaga menghadapi cabaran masa kini terutama isu kesucian agama Islam.

"Kita pasti menyedari nilai murni yang bersesuaian dengan agama dan budaya kita kini semakin terhakis, umpamanya adab sopan santun sesama kita, juga terhadap orang lebih tua tidak begitu diambil kira lagi.

"Minda kita juga menerima serangan dari luar, terutamanya melalui media massa dan sosial, yang menjejaskan bukan sahaja konsep nilai dan berkaitan dengan isu-isu kesucian agama kita. Sebagai contoh kita didedahkan dengan konsep liberalisme dan pluralisme dalam agama yang menyalahi konsep akidah pegangan kita," titah baginda.

Dalam pada itu Tuanku Najihah menasihatkan ahli LKPIM supaya bertolak ansur dalam sebarang perkongsian idea, pengalaman dan pengetahuan selain menjauhi sikap bangga diri serta pentingkan diri sendiri.

"Ketepikan rasa bangga diri dan pentingkan diri sendiri, begitu juga antara Lembaga Perhubungan Negeri, boleh saling bertukar fikiran atau berkongsi idea untuk laksanakan kerja kebajikan.

"Contohi antara satu sama lain dari segi kejayaan dan belajar dari kesilapan dan kegagalan," titah baginda.

Tahun ini negeri Perak menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan LKPIM ke-55 dengan menghimpunkan kira-kira 230 orang perwakilan dari seluruh Malaysia.

LKPIM mempunyai 15 cawangan negeri di mana fokus utama dan peranannya tertumpu kepada membantu golongan wanita Islam selain mensasarkan saluran bantuan kepada bangsa lain di Malaysia.


16 views0 comments
bottom of page