top of page
muinsapidin

Kesulitan Mangsa Kebakaran Dapat Perhatian

IPOH - Prihatin dengan kesulitan yang dialami mangsa kebakaran di Taman Pengkalan Harmoni dekat sini, Senator Datuk Hamzah Kassim menghulurkan bantuan awal RM5,000 untuk meringankan beban keluarga tersebut.

Selain itu, Hamzah turut mencari dan menanggung sewa rumah keluarga pasangan Abd Rahim Mohd Aduha dan isterinya, Hasnita Abidin, selama tiga bulan di samping bantuan keperluan harian, juga untuk tempoh tiga bulan.

Hamzah berkata, sumbangan itu adalah atas rasa prihatin dan simpati terhadap nasib malang yang menimpa keluarga tersebut.

Di samping bantuan tersebut, terdapat beberala pihak lain yang tampil membantu, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat daerah di bawah Tabung Bencana Daerah.

"Semoga dengan bantuan dan sumbangan ini akan meringankan beban keluarga ini, termasuk untuk membeli pakaian dan keperluan yang terbakar," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di rumah mereka pada Selasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Radzi Zainon yang turut menghulurkan sumbangan peribadi.

Menceritakan kejadian kira-kira jam 1.15 tengahari Ahad itu, Hasnita berkata, ketika kebakaran, dia sedang menonton televisyen bersama-sama dua anaknya yang berumur 4 dan 7 tahun, dan emaknya yang berumur 73 tahun.

"Ketika anak saya yang berumur 4 tahun hendak ke bilik air, dia membuka biliknya yang terletak di tengah-tengah.

"Ketika itu saya lihat asap penuh dan suasana dalam bilik sangat gelap.

"Saya terus membawa anak-anak dan emak lari keluar rumah menyelamatkan diri sambil menjerit meminta tolong," katanya sambil memberitahu, ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana bekerja.

Bagaimanapun, Hasnita bersyukur, walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang, semua keluarganya terselamat.

"Terima kasih kepada Datuk Senator dan Yang Berhormat kerana sudi melawat dan membantu meringankan kesulitan kami," ujarnya.

Dalam pada itu, Hamzah meminta pihak insuran dapat menyelesaikan segera tuntutan keluarga itu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan secepat mungkin.


32 views0 comments
bottom of page