top of page
muinsapidin

TNB Sinari Kehidupan Warga Emas

SUNGAI SIPUT - Kehidupan seorang warga emas, Fatimah Samsudin, 70, disinari selepas menerima sebuah rumah baharu di Kampung Prik, Enggor yang disumbangkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menerusi Projek Baiti Jannati TNB, Fatimah yang sebelum ini terpaksa tinggal bersama anak sulungnya di Taiping, kini memiliki sebuah rumah dua bilik tidur dilengkapi kemudahan air dan elektrik dengan ruang tamu yang luas.

Ibu tunggal kepada tujuh anak itu ketika ditemui menyatakan rasa syukur di atas keprihatinan TNB kerana memilihnya sebagai salah seorang daripada penerima dalam program itu.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya TNB kerana prihatin, tak terbalas saya budi dan jasa,” katanya selepas Majlis Kesyukuran Projek ‘Baiti Jannati’ di Kampung Prik, Enggor, Sungai Siput pada Isnin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengurus Besar Negeri Perak Bahagian Pembahagian TNB, Datuk Mohd Zahir Md Nagor.

Mohd Zahir dalam ucapannya berkata, projek Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat TNB bagi menzahirkan saranan kerajaan membantu golongan sasaran seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin.

“Di Perak setakat tahun 2015 sebanyak 37 buah rumah telah berjaya dibaiki sejak tahun 2008 melibatkan kos RM1.132 Juta.

“Tahun ini TNB memperuntukkan sembilah buah rumah di bawah program ini dan kesemua sembilan orang penerima bantuan rumah telah dikenal pasti dan rumah mereka akan siap insya Allah sebelum Ramadan,” ujarnya.

Sementara itu, Zolkafly berharap, rumah yang dibina dengan kos RM50,000 itu dapat memberi keselesaan untuk Fatimah menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi. - Suara Perak


40 views0 comments
bottom of page