PARIT BUNTAR - Barisan Nasional (BN) Perak bersedia atas apa juga kemungkinan sama ada berdepan secara satu lawan satu atau lebih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, 18 Jun ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, apa yang penting, jentera BN perlu bekerja keras bagi menghadapi siapa juga calon yang akan diketengahkan oleh pembangkang.
Ditanya mengenai kemungkinan Parti Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan calon pada PRK Kuala Kangsar selain PAS yang sudah mengesahkan akan bertanding, Zambry berkata terpulang kepada pembangkang untuk meletakkan seberapa banyak calon.
"Dia bergaduh sama dia, dulu satu, (sekarang) jadi dua, tidak mengapa la kalau mereka nak bertanding banyak, lagi baik dan kita pun tak boleh nak menghalang mana-mana parti untuk bertanding," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran elaun sara hidup nelayan laut secara tunai 2016 sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kerian di Dewan Serbaguna Tanjung Piandang sini, pada Jumaat.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, ekoran nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Turut terkorban dalam insiden itu ialah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.
Mengenai persediaan jentera pilihan raya, Dr Zambry yang juga Pengarah PRK Kuala Kangsar memberitahu, BN negeri sudah mengatur gerak kerja dengan memberi tumpuan terhadap isu-isu atau permasalahan rakyat di kawasan berkenaan.
Ketika ditanya mengenai calon BN, Dr Zambry berkata, BN negeri masih menunggu nama calon yang layak bertanding pada PRK Kuala Kangsar daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ditanya mengenai keyakinan Pemuda BN Perak bahawa lebih 3,000 majoriti undi pada pilihan raya itu, Zambry berkata: "Bagus la, saya mengalu-alukan kenyataan Pemuda itu, jangan hanya buat kenyataan tapi tak buat kerja".