PARIT BUNTAR: Pendekatan Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kerian mungkin hanya terlihat di bahagian permukaan di dalam 117 program sepanjang empat hari perlaksanaannya, namun ada jiwa yang tersentuh apabila berjumpa dengan pemimpin.
Antaranya ialah seorang warga emas yang tidak dapat menahan airmata apabila berpeluang bersua dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim di PPR Taman Toh Jabit pada Jumaat.
Lawatan itu dilakukan sempena Program Jalinan Mesra Gotong Royong dan Penyampaian Bantuan Penduduk PPR Taman Toh Jabit, namun kisah wanita tersebut sememangnya sesuatu yang menimbulkan rasa terharu sesiapa sahaja yang memandangnya.
Sebaik sahaja bersalaman dengan Rusnah, wanita itu terus sahaja menitiskan airmata dan memeluk erat wakil rakyat tersebut.
Ketika ditanya, Kalsom Sharif, 70 berkata, dia baru sahaja sembuh daripada penyakit angin ahmar yang menyebabkannya terlantar di katil selama empat tahun.
“Sewaktu saya sakit, YB datang dan menjenguk, malah memberikan sumbangan, jadi ketika saya dah sembuh, insan pertama yang saya nak jumpa adalah YB Rusnah sendiri.
“Saya tak sangka diberikan nafas dan umur yang panjang, walaupun telah sakit begitu lama, itulah sebabnya sewaktu saya terlihat wajah YB, saya terus sebak kerana beliau ada datang dan menjenguk saya yang tua dan uzur ini dulu,” kata ustazah yang mengajar al-Quran itu kepada Suara Perak.
Ibu tunggal yang berasal dari Kg Titi Serong itu berkata, sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kedatangan Rusnah, dia tidak dapat menahan sabar untuk bertemu dengan pemimpin wanita itu.
Kisah penuh emosi itu tidak berakhir di situ apabila Suara Perak bertemu dengan seorang warga OKU yang sebelum ini bekerja sebagai penjawat awam.
Latif Sotar, 60 berkata, dia terpaksa menanggung perit mengesot ke tingkat dua kediamannya di PPR Taman Toh Jabit disebabkan kehilangan kaki kiri.
Latif berkata, kakinya terpaksa dipotong berikutan keadaan ototnya yang teruk akibat kemalangan pada Disember 2013.
“Masih segar di ingatan, saya pergi ke kerja pada jam 5 pagi, namun malang tidak berbau, motor saya menyimpang ke longkang besar dan kini, saya kehilangan pangkal kaki kiri,” katanya sayu.
Sudah jatuh ditimpa tangga, nasib malang Latif juga berlaku kepada kedua belah matanya berikutan terkena batu sewaktu bekerja di sawah padi pada tahun 1990 di sebelah mata kanan dan kemudiannya disahkan mempunyai ketumbuhan di mata kirinya pada 2006.
“Saya tak nampak YB Rusnah hari ini, tapi saya kenal dia dan saya bersyukur kerana ada pemimpin yang sanggup datang bertanyakan khabar secara ikhlas dan memberikan sumbangan, saya harap perkara ini dijalankan berterusan khususnya buat kami yang kurang sifatnya ini,” ujarnya.