TANJUNG PIANDANG - Seramai 2,500 nelayan sekitar daerah Kerian menerima bantuan sara hidup RM300 yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dr Zambry berkata, bantuan sara hidup itu merupakan inisiatif kerajaan yang telah diwujudkan sejak sekian lama, bagi membantu meringankan beban golongan itu.
Menurut beliau, mereka menerima bantuan bulanan itu sejak bertahun-tahun dan hari ini mereka dipanggil supaya dapat merasai dan menghargai apa dilakukan oleh kerajaan.
“Malaysia satu-satunya kerajaan yang membantu golongan nelayan seperti ini.
“Jadi saya hanya minta satu sahaja dari golongan nelayan, berterima kasih, jangan kita bermusuh, soal sokongan atau tidak sokong itu perkara lain, hargai apa yang kita buat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan itu di Dewan Orang Ramai Tanjung Piandang pada Jumaat.
Majlis itu merupakan salah satu daripada 116 program yang diatur sepanjang pemukiman Menteri Besar di daerah Kerian sejak 17 hingga 20 Mei.
Dr Zambry memberitahu, melalui program itu juga kerajaan negeri telah mendengar aduan serta permohonan nelayan di daerah itu mengenai beberapa isu yang membelenggu mereka.
Katanya, segala permasalahan itu akan diteliti oleh kerajaan negeri dan akan diambil tindakan.
“Antaranya, mereka minta pukat-pukat tertentu yang kerajaan tidak benarkan, dibenarkan. Itu kita akan serahkan kepada Kementerian Pertanian, akan kita panjangkan kepada mereka untuk mereka buat penilian,” ujarnya.