KAMPAR: "Capai impian,dream big dan jangan pernah berhenti melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini," itulah pesanan terakhir mendiang Elvis Teh Chee Keng, 51, Naib Presiden UTAR yang terkorban dalam kemalangan jalanraya pada Rabu.
Pesanan itu masih segar dalam ingatan T.Avineshwaran dalam majlis graduasi Universiti Tunku Abdul Rahman(UTAR) di sini pada bulan lepas.
Elvis Teh, yang merupakan dekan di institusi pengajian itu menemui ajalnya sewaktu dalam perjalanan ke Tronoh Mines ketika berbasikal bersama rakan-rakannya.
Bagi Avinesh, beliau sama sekali tidak menyangka itulah titipan akhir sebelum Elvis, dekan yang cukup dikenali dengan sifat peramah itu kepada dirinya dan juga kawan-kawannya.
"Beliau memang seorang yang amat mudah mendekati mahasiswa di UTAR malah sering mengusik kami yang sudah mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian ini.
"Pesanan terakhirnya kepada saya, jangan pernah goyah untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar, dan teruskan menjadi insan yang membawa perubahan positif di dalam dunia," katanya menahan sebak kepada Suara Perak.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar 10 malam ketika mangsa sedang berbasikal bersama lima lagi rakannya di Kilometer 4.5 Jalan Kampar-Tronoh Mines.
"Mangsa sedang berbasikal berkumpulan dan apabila tiba di lokasi, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di bahagian tengah jalan raya," katanya pada Khamis.
Beliau memberitahu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.