BAGAN SERAI - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry melahirkan kekecewaannya mengenai sikap segelintir penerima bantuan kiosk Yayasan Bina Upaya (YBU) yang mengambil kesempatan menjual kiosk kepada orang lain untuk mendapat `wang mudah’.
Sambil menyifatkan perbuatan mereka ini sebagai tidak bertanggungjawab, Dr Zambry memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil semula kiosk yang diberikan secara percuma daripada penerima terbabit.
Katanya, kiosk yang diambil semula daripada penerima yang tidak bertanggungjawab itu akan diberikan kepada penerima lain yang lebih memerlukan.
“Saya amat kecewa kerana melihat perbuatan segelintir penerima yang tidak bertanggungjawab ini kerana langsung tidak menghargai pemberian kerajaan.
“Mereka sepatutnya menggunakan kiosk ini untuk menjalankan perniagaan dengan lebih selesa bagi menambah pendapatan keluarga dan bukannya menjualkannya kepada orang lain semata-mata untuk mendapat wang mudah,’’ katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Awam Bagan Serai pada Khamis.
Dr Zambry turut menegur penerima-penerima bantuan kiosk yang bersikap tidak bertanggungjawab membiarkan kiosk mereka dalam keadaan kotor dan tidak berusaha untuk sentiasa menjaganya.
Sebelum itu beliau telah menyampaikan kiosk kepada 18 orang penerima di Dewan Serbaguna Alor Pongsu.