ALOR PONGSU - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap pemilihan lokasi projek Rumah Mampu Milik di Alor Pongsu sebagai amat strategik.
Beliau berkata, ini kerana lokasi pembinaan 160 unit rumah mampu milik itu terletak berhampiran susur keluar Tol Lebuh Raya Alor Pongsu.
Katanya, unit-unit rumah yang dijual pula sangat berpatutan kepada mereka yang berkemampuan iaitu pada kadar RM180,000 seunit.
“Unit-unit rumah yang dijual ini sangat berpatutan bagi mereka yang berkemampuan dan bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan rumah kepada rakyat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pasar Awam Bagan Serai dan melancarkan Majlis Perasmian dan Pendaftaran Rumah Mampu Milik di Dewan Serbaguna Alor Pongsu pada Khamis.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayah, beberapa Exco kerajaan negeri dan ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri turut bercadang membina beberapa unit rumah kedai di pekan Alor Pongsu selain membaikpulih jalan raya Persekutuan di Alor Pongsu yang semakin mendap.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Zambry menegaskan bahawa matlamat kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bukan bertujuan mengaut untung tetapi untuk menyediakan rumah kepada rakyat.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam menyediakan tempat kediaman kepada mereka.
Dalam konteks ini, katanya, PKNP telah diminta supaya menilai kawasan-kawasan yang sesuai di negeri ini untuk membina lebih rumah mampu milik kepada rakyat.
Sebelum itu pada awal pagi Dr Zambry telah bersarapan pagi bersama penduduk di pekan Alor Pongsu pada program walkabout.