top of page
muinsapidin

291 Penduduk Kerian Terima Sumbangan FELCRA Berhad

KERIAN: Seramai 291 penduduk di sekitar Kerian menerima sumbangan berupa barangan asas dan kewangan khas daripada Felcra Berhad Negeri Perak dalam program Ziarah Kasih pada petang Khamis. Pengurusnya, Zulkarnain Zainal berkata, pihaknya mengambil kesempatan sempena Program Pemukiman Daerah Kerian itu untuk turun padang dan menyerahkan sendiri pemberian tersebut kepada semua 291 penerima terpilih.

"Kebiasaannya kita akan memasukkan duit tersebut ke dalam akaun bank mereka namun kali ini pemukiman di sekitar Kerian membolehkan kita bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat di sini secara lebih dekat dan holistik. "Selain itu, kita juga menjalankan program Saham PPRT Felcra bersama dengan wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan agar mereka dapat berjumpa dengan golongan yang masih memerlukan bantuan di daerah ini," katanya kepada Suara Perak selepas melakukan lawatan dari rumah ke rumah untuk Ziarah Kasih FELCRA Perak.

Majlis disempurnakan ADUN Lintang, Datuk Zulkafly Harun selaku wakil pemimpin dan warga kerja Felcra Berhad Perak.

Katanya, sebanyak lima DUN terlibat dalam program murni itu termasuk DUN Kuala Kurau, Alor Pongsu, Titi Serong, Semanggol dan Selinsing. Selain itu, kata beliau, pihaknya juga melakukan tinjauan dan lawatan ke beberapa buah rumah yang tergolong dalam program bantuan rumah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di mana FELCRA bertindak sebagai pelaksana utamanya. Zulkarnain berkata, pihaknya telah membelanjakan sekitar RM 682,000 untuk membina baru dan membaikpulih rumah-rumah di seluruh daerah Kerian, Perak. "Di Kerian, kita telah memilih dan mengenalpasti 11 unit rumah untuk dibina baru manakala 22 unit pula akan dibaikpulih yang sedang dan bakal dilaksanakan sehingga pertengahan tahun ini. "Secara keseluruhannya, Felcra telah mengenalpasti sebanyak 366 unit rumah di sekitar negeri Perak yang akan dibaikpulih dan dibina baru khas untuk keselesaan masyarakat setempat," ujarnya. Menurut beliau, pihaknya akan terus berusaha untuk membantu penduduk negeri ini yang masih memerlukan sumbangan dan bantuan melalui pelbagai pengisian program baik di peringkat daerah dan negeri.


7 views0 comments
bottom of page