top of page
muinsapidin

Ubah Cara Hidup – Samsudin

PARIT BUNTAR : Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, rakyat mesti bersedia untuk mengubah cara hidup daripada makan di luar kepada makan di rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, mereka juga mesti bersedia untuk membeli keperluan makanan di pasar tani yang menawarkan harga jauh lebih rendah, berbanding harga di pasar awam atau pasar raya.

Menurut beliau, jika itu dapat dilakukan, ia bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan dapur mereka, malah dapat membantu peniaga pasar tani meningkatkan pendapatan mereka.

“Amalan pemakanan kesihatan yang baik hendaklah dilaksanakan dengan begitu baik oleh mereka sendiri, maka saya syorkan mereka juga menyediakan makanan di rumah dengan barang-barang segar, kebersihan yang begitu terjamin yang dimasak oleh isteri atau keluarga kita.

“Kita boleh makan bersama-sama dalam satu orang jamaah, sekaligus dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar tani baru Taman Kerian di sini pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah FAMA, Basri Jasmo.

Samsudin berkata, pasar tani tersebut adalah yang ke 31 di negeri Perak, adalah salah satu usaha kerajaan negeri melalui FAMA untuk mencapai sasaran RM30 juta hasil jualan pasar tani setahun.

Beliau yakin, sasaran itu mampu dicapai sekiranya rakyat berbelanja di pasar tani, yang menawarkan harga jauh lebih murah, antara 10 dan 30 peratus, berbanding harga di pasar awam.

Pada tahun 2015, hasil jualan pasar tani di seluruh Perak mencatatkan kutipan hampir RM28 juta.


20 views0 comments
bottom of page