KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan sesi rundingan dengan mana-mana pihak berhubung dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar sudah selesai apabila parti Islam itu memutuskan untuk bertanding.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mengumumkan calon tempatan dalam masa terdekat.
Ketika ditanya kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru, Abdul Hadi hanya menjawab, "tunggu dan lihat."
Meskipun ada kemungkinan PKR meletakkan calon dalam PRK di Sungai Besar nanti, Abdul Hadi menyifatkan kerjasama parti Islam itu dengan PKR di Selangor tidak terjejas.
"(Walau PKR letak calon di Sungai Besar) Pas tetap jalin hubungan dengan PKR," katanya.
Mengulas dakwaan DAP, parti Islam itu tidak mampu mengulang prestasi seperti pilihanraya umum lalu kerana penurunan sokongan pengundi bukan Melayu, Abdul Hadi berkata, tidak semua pengundi Cina menyokong DAP.
"Itu menjadi ukuran sejauh mana kaum Cina menerima gelombang (kita). Insya-ALLAH.
"Bukan semua Cina sokong DAP," katanya.