PARIT BUNTAR - Kerajaan negeri komited mendengar segala permasalahan yang dihadapai oleh golongan belia di Kerian sepanjang program pemukiman berlangsung dari 17 hingga 20 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, komitmen yang dinyatakan itu merupakan salah satu misi utama program berkenaann selain menyelami denyut nadi rakyat di akar umbi.
Menurut beliau, semua perkara yang dibangkitkan akan cuba selesaikan dan jika ia masalah kecil, mungkin boleh selesaikan dalam jangka masa pendek.
"Tetapi sekiranya perkara itu besar dan memerlukan dana yang besar, ia mungkin memerlukan jangka masa panjang untuk diselesaikan," katanya ketika ditemui selepas program Cekodok Talk di Taman Kerian pada malam Selasa.
Program tersebut merupakan salah satu program di bawah portfolio beliau dalam program pemukiman di daerah berkenaan yang berlangsung selama empat hari.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memanjangkan sebarang masalah yang dibangkitkan kepada pihak kementerian berkaitan sekiranya ia memerlukan peruntukkan yang besar.
Terdahulu, beliau hadir ke program 'Forum Sembang Santai Selfie Hati' di Masjid Hijau, Kampung Kedah, Kerian.
Program berbentuk keagamaan itu yang menampilkan Pencetus Ummah, Azraie dan Imam Muda Nazrul Izwan, menarik lebih100 jemaah masjid dan golongan muda.