top of page
muinsapidin

684 Nelayan Darat Lega Dapat Elaun Saraan

ALOR PONGSU- Program Pemukiman Menteri Besar Perak di daerah Kerian yang masuk hari ketiga hari ini memberi kelegaan kepada seramai 684 orang nelayan darat apabila mereka dipilih untuk menerima Elaun bulanan Sara Hidup Nelayan Darat, masing-masing sebanyak RM200.

Elaun tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid dalam satu majlis di Dewan JKKK Alor Pongsu pada Rabu.

Hadir sama ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Rata-rata nelayan darat yang ditemui melahirkan rasa lega kerana elaun yang diterima itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan seharian keluarga mereka kerana kemarau panjang akibat fenomena El-Nino.

Namun begitu mereka mengharapkan agar kerajaan menyelaraskan pembayaran elaun daripada RM200 kepada RM300 sepertimana yang diterima oleh nelayan laut ketika ini.

Seorang nelayan darat dari Alor Pongsu, Ibrahim Ismail, 58, berkata, beliau amat lega kerana elaun bulanan yang diterima dapat menampung wang belanja harian buat keluarganya.

“Memandangkan kos sara hidup yang tinggi sekarang, saya amat berharap agar kerajaan dapat menyelaraskan pembayaran elaun ini kepada RM300 sepertimana yang diterima nelayan laut ketika ini,” katanya.

Seorang nelayan dari Bukit Merah, Fadzil Din, 38, turut sependapat dengan Ibrahim supaya pembayaran elaun berkenaan diselaraskan.

“Bukan kami tidak bersyukur tetapi dengan kenaikkan sedikit dapatlah mengurangkan beban perbelanjaan harian buat kelaurga kami,’’ ujarnya.

Terdahulu Dr Zabri dalam ucapannya menyarankan nelayan darat di negeri ini supaya mempelbagaikan pendapatan mereka seperti menghasilkan ikan kering dan menceburi bidang penternakan sebagai sumber pendapatan tambahan.

Katanya, bagi tahun 2015, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1,370,400 kepada 571 orang nelayan darat bagi seluruh negeri Perak.

Menurut beliau, pada tahun ini iaitu sehingga April 2016, terdapat tambahan 120 orang nelayan darat yang telah diluluskan untuk menerima elaun saraan sebanyak RM200.


25 views0 comments
bottom of page