top of page
muinsapidin

600 Warga Emas, Belia Kerian Sertai Pemeriksaan Kesihatan Percuma

BAGAN SERAI: Warga emas dan belia antara penduduk Bagan Serai yang mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma di Karnival Kesihatan yang dijalankan selama dua hari oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kerian sempena Program Pemukiman Daerah Kerian kali ini.

Antara aktiviti kesihatan yang dijalankan di dalam karnival bersepadu anjuran Hospital Parit Buntar dan Hospital Taiping itu adalah pemeriksaan tekanan darah, mata, kadar gula dalam darah dan kempen derma darah.

Disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pengangkutan, Integrasi Nasional,Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon, karnival itu kini dijalankan di Alor Pongsu dan pada hari sebelumnya di Tanjung Piandang.

Dengan kehadiran melebihi sasaran, iaitu mencecah 600 penduduk setempat, karnival itu jelas menyelami permasalahan kesihatan dengan kehadiran pegawai perubatan bertauliah serta alatan serba canggih.

Bagi Fatimah Abdul Rahman, 89, peluang untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi katarak matanya adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan bagi warga emas ini. Nenek kepada 32 cucu itu berkata, masalah utama untuk mendapatkan rutin pemeriksaan perubatan adalah sistem pengangkutan awam yang agak lemah di sekitar perkampungannya. "Makcik tinggal agak jauh dari sini, jadi bila ada program macam ini barulah kami dapat pergi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan bersama jiran sekampung. "Makcik cuma harap agar program ini janganlah berhenti di sini sahaja, memang ada klinik bergerak di sekitar Kerian tapi pemeriksaan mata ini agak jarang diberikan. "Terus terang kami warga emas ini kalau nak nampak van kesihatan pun payah," ujarnya berceloteh kepada Suara Perak.

Selain itu, peluang keemasan untuk mengisi masa lapang bersama anak-anak juga dimanfaatkan oleh Fauziah Mat Desa, 38.

Surirumah dari Taman Serai Murni itu turut merasakan bahawa karnival itu merupakan satu pendekatan untuk bermesra dan menerangkan mengenai kesihatan dan penjagaan kebersihan kepada keluarganya.

"Suami saya bekerja di kilang dan sentiasa tiada di rumah, jadi saya tak ada masa nak bawa anak-anak keluar jadi mereka tak tahu asas kebersihan dan kesihatan, saya sendiri pun tak tahu pasal suntikan dan imunisasi awal kanak-kanak.

"Doktor dan pegawai kesihatan pun ada di sini, mereka terangkan mengenai suntikan BCG,Rubella, Hepatitis B yang kami orang kampung mana nak tahu sebelum ini," katanya.

Fauziah berkata, program pemukiman di Kerian yang diisi dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti karnival kesihatan itu merupakan satu usaha yang menitikberatkan masalah penduduk di peringkat luar bandar dan sekitarnya dengan begitu baik.


42 views0 comments
bottom of page