top of page
muinsapidin

Pengundi Kuala Kangsar Bijak, Matang - Dr Zambry

KUALA KANGSAR: Barisan Nasional Negeri (BN) Perak yakin bahawa masyarakat di sekitar Kuala Kangsar adalah terdiri daripada pengundi yang matang dan bijak, terutama dalam memilih wakil rakyat pada pertengahan Jun depan. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Perhubungan BN Negeri berkata, berdasarkan pemerhatian dan pemantauan beliau, rakyat di Bandar Diraja itu sebenarnya mengharapkan seseorang yang dikenali dan dekat di hati mereka. "Kami ada bertanya dan berbisik-bisik untuk mendapatkan pandangan rakyat setempat dan maklum balas mengenai calon sesuai, dan pandangan akar umbi mereka inilah yang paling penting untuk dibawa ke pucuk pimpinan atasan.

"Rakyat tidak akan termakan dengan beberapa kenyataan atau persoalan provokatif dari mana-mana pihak yang mencuba untuk menolak BN di parlimen ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan sesi 'walkabout' di sekitar pekan Kuala Kangsar bagi meninjau persiapan awal jentera PRK BN Parlimen Kuala Kangsar pada petang Selasa. Katanya, 'walkabout' itu dijalankan bagi mendapatkan maklum balas daripada penduduk mengenai kecenderungan mereka untuk memilih calon-calon bagi parti BN yang akan bertanding dalam PRK kelak. Malah, Dr Zambry berkata, semua komponen di sekitar parlimen tersebut telah bersiap siaga dan mengikuti jadual serta prosedur yang begitu tersusun, bagi mempastikan kelancaran kempen parti BN dari masa ke masa, menjelang PRK. Menurut beliau, pihaknya akan mempastikan segala maklumat dan pandangan di peringkat akar umbi mengenai calon pilihan mereka akan dinilai dan dipertimbangkan bersama di peringkat pucuk pimpinan atasan, yang mengekalkan konsep musyawarah dalam PRK kali ini. Dr Zambry berkata, pihaknya juga sentiasa mempastikan bahawa amanah, legasi serta projek jangka panjang yang belum diselesaikan oleh Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khari-il Anuar Wan Ahmad di sekitar Kuala Kangsar dapat diteruskan. "Pihak kami kini sedang dalam proses mengenal pasti sebarang rancangan atau projek yang masih perlu ditunaikan khususnya ketika hayat Allayarham Datuk Wan. "Ianya melibatkan tanggungjawab kami dalam memastikan amanah kepada rakyat ditunaikan dan juga menaikkan bandar Kuala Kangsar sebagai lokasi pelancongan utama," ujarnya.


4 views0 comments
bottom of page