top of page
muinsapidin

Hub Keluaran Kambing Di Pondok Tanjung

PARIT BUNTAR - Kerajaan negeri sedang dalam proses untuk mewujudkan hub pengeluaran kambing di Pondok Tanjung, Taiping tidak lama lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid, sebagai permulaan, lima pengusaha kambing yang berpengalaman telah dikenalpasti untuk memulakan projek ternakan di pusat berkenaan.

Katanya, menerusi projek itu, sebagai permulaan setiap seorang peserta akan diberi 250 ekor kambing betina dan 9 ekor kambing jantan dengan sasaran 600 ekor kambing dalam tempoh tiga tahun akan datang.

``Menerusi projek ini juga kita mensasarkan seramai 25 usahawan penternak kambing daripada golongan muda,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Usahawan Ternak Muda di Dewan Sri Kerian, Parit Buntar pada Selasa.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta golongan muda supaya mengikis persepsi kononnya bidang penternakan merupakan satu pekerjaan kotor dan tiada masa depan.

Katanya, tanggapan itu sebenarnya salah dan perlu diperbetulkan kerana bidang tersebut mampu menjana pendapatan besar sekiranya ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

``Janganlah hendaknya kita bekerja sambil lewa dan berhenti sekerat jalan dengan menjual segala ternakan dan kandang kambing kepada orang lain semata-mata kerana memikirkan bahawa bidang ternakan kambing ini tiada masa depan.

``Kita harus berani melangkah kedepan meneruskan cabaran sehingga menjadi penternak kambing yang berjaya,’’ katanya.

Seminar sehari itu yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Kerian dihadiri lebih 800 peserta.


73 views0 comments
bottom of page