GOPENG:"Berbanggalah dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, kerana itulah yang menjadi rebutan di pasaran kerja”. Ringkas namun padat pesanan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada para graduan GIATMARA Perak yang menamatkan sesi pembelajaran mereka secara rasminya pada Mei ini. Menurut Dr Zambry, para graduan GIATMARA seharusnya tidak merasa rendah diri terhadap sijil atau diploma yang mereka miliki, sebaliknya mesti berbangga dengan peluang mereka terlibat secara langsung dalam ilmu vokasional.
"Percayalah, mereka yang mempunyai kemahiran ada peluang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan kerana mereka ada ilmu vokasional yang diperolehi, baik kimpalan, kulinari, jahitan atau mekanik kereta, yang saya sendiri pun tidak ada. "Itulah erti kehidupan, di mana kita mempunyai kepakaran unik masing-masing untuk menempatkan diri di tempat kerja, orang lain pun tidak ada, maka hayati kebanggaan itu," katanya ketika berucap dalam Majlis Graduasi GIATMARA Negeri Perak di Dewan Bankuet RTC Gopeng pada Selasa. Menurut beliau, sebagai penerima tajaan kewangan MARA, beliau sendiri merasa amat dekat dengan graduan di GIATMARA dan menasihati mereka agar tidak berasa malu terhadap status sebagai seorang pelajar vokasional.
Sebaliknya, mereka harus bijak menggunakan ruang dan peluang kemahiran masing-masing untuk mencari pekerjaan, berbanding mereka yang hanya mempelajari sesuatu melalui kaedah teori semata-mata di kebanyakan institusi pengajian. Dr Zambry berkata, rancangan pendidikan GIATMARA sebenarnya mendukung hasrat negeri Perak dalam memperkasakan pembangunan modal insan dan pembinaan 231 pusat tersebut di seluruh negara merupakan bukti kemampanannya dalam melatih para belia. "Jubah ini merupakan pengiktirafan dan menandakan kita telah dinaikkan sedarjat dalam kehidupan apabila tamatnya sesi pengajian, namun segala-galanya terletak di tangan kita dalam mencorak masa depan,” ujarnya. Dr Zambry berkata, kerajaan amat memandang tinggi kepada peranan serta sumbangan MARA secara amnya dan GIATMARA khususnya yang telah memainkan peranan penting sebagai peneraju utama di dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negara. Dalam majlis itu, Seramai 950 orang pelatih GIATMARA yang menamatkan latihan bagi kursus kemahiran di negeri Perak, menerima sijil masing-masing.