KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terhadap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming akhirnya selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Kes itu selesai selepas Kor Ming menarik balik status bergambar yang didakwa memfitnah Najib dan Rosmah.
Pada prosiding di hadapan Hakim Siti Khadijah S. Hassan Badjenid, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib dan Rosmah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menerima kenyataan kesal yang dibacakan peguam Alex Tan Chie Sian bagi pihak Kor Ming.
Chie Sian berkata, gambar yang dimuat naik berserta status 'Siapa PM Malaysia yang sebenar, Jawab!' diambil di China ketika perdana menteri dalam persiapan untuk pulang ke Malaysia selepas dimaklumkan berhubung kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah.
"Dengan itu saya melahirkan rasa kesal kerana gambar itu disalah tafsir dan diberi maksud luar daripada konteks.
"Saya dengan ini menarik balik status yang dimuat naik bagi merujuk kepada gambar itu dan berjanji untuk tidak menyiarkan status sama pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu Mohd Hafarizam memberitahu mahkamah, pihaknya menerima kenyataan kesal itu berdasarkan keikhlasan defendan menarik balik status bergambar itu dan akujanji untuk tidak mengulanginya.
Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman berkenaan.
Saman atas kapasiti peribadi itu berhubung tindakan Kor Ming yang didakwa memuat naik status memfitnah mereka berdua di laman Facebook miliknya.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan 11 Jun tahun lalu, Najib dan Rosmah mendakwa pada 29 Mac tahun lalu, Kor Ming memuat naik gambar mereka berdua berserta status dalam akaun Facebook atas namanya.