KUALA KANGSAR – Walaupun sudah hampir dua minggu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia ekoran nahas helikopter di Sarawak, ramai yang masih menangisi pemergian Allahyarham.
Ramai juga yang seolah-olah tidak percaya kehilangan Allahyarham dan menganggapnya seolah-olah suatu mimpi kerana seperti semalam mereka bersama bergurau dan bertegur sapa dengan pemimpin yang disayangi dan dihormati itu.
Itulah yang dirasai Ketua Pemuda MIC Bahagian Kuala Kangsar, AR Ramachandran (Rama), 40, yang masih sukar menerima kenyataan kehilangan seorang yang dianggap umpama abangnya sendiri.
“Terus terang saya katakan, memang sukar untuk saya menerima kehilangan Datuk Wan kerana Allahyarham sangat baik, macam ahli keluarga saya sendiri, seperti abang saya,” katanya sambil mengesat air mata yang mula bergenang di matanya.
Sepanjang berbual kira-kira setengah jam dengan Rama, berapa kali dia mengesat air matanya, malah kadang kala perbualan terhenti kerana dia menahan sebak sehingga kedengaran suara tangisan yang menggambarkan kejujuran hubungannya dengan Allahyarham Wan Khair-il.
Mengenali Allahyarham sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 ketika Wan Khair-il bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, Rama mengakui hubungan mereka lebih rapat ketika dilantik sebagai pencadang Allahyarham sebagai calon Parlimen Kuala Kangsar pada PRU 2013.
“Dilantik sebagai pencadang ketika itu adalah suatu kenangan paling manis bagi saya, juga penghormatan dan pengiktirafan kepada masyarakat India, khususnya di Kuala Kangsar,” ujarnya sambil tersenyum mengimbau kenangan indah bersama Allahyarham.
Sejak itu, Rama dilantik sebagai pegawai khas wakil rakyat di Kuala Kangsar yang menjaga hal ehwal masyarakat India, merapatkan lagi hubungan mereka umpama keluarga.
“Setiap kali berucap di program yang melibatkan kaum India di Kuala Kangsar, Allahyarham secara berterus terang memberitahu hadirin bahawa beliau tidak risau dengan isu kaum India kerana saya (Rama) ada menyelesaikannya.
“Allahyarham juga kata, kalau tidak selesai, saya (Allahyarham) boleh ketuk Rama sebab he is my brother,” kata Ketua Pemuda MIC itu sambil menahan sebaknya.
Menurut Rama, ketika nahas helikopter yang melibatkan Allahyarham Wan Khair-il pada 5 Mei lalu, dua dalam perjalanan balik dari Ipoh ke Kuala Kangsar dan menutup data telefon bimbitnya.
Ketika tiba di plaza tol Kuala Kangsar, seorang rakan menelefonnya dan bertanya mengada dia tidak menjawab pertanyaan melalui whatsapp.
“Selepas membayar tol, saya berhenti di tepi jalan dan membuka data untuk melihat whatsapp, berpuluh-puluh yang bertanyakan mengenai nahas itu. Saya jadi buntu, tidak tahu apa hendak buat ketika itu,” ujarnya mengakui tidak boleh tidur dua malam berturut-turut selepas kejadian tersebut.
Rama juga mengakui hadir semua majlis tahlil dan bacaan Yassin di kediaman keluarga Allahyarham di Kuala Kangsar dan juga di Bukit Setiawangsu, Kuala Lumpur.
Beliau juga mengakui terus ke rumah Allahyarham di Bukit Setiawangsa sehari selepas nahas dan juga menunggu jenazah Wan Khair-il seawall jam 4.30 pagi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.
“Saya boleh tunggu di Kuala Kangsar sahaja, tetapi he is my brother, saya tidak tahu macam mana nak jawab soalan itu,” katanya ketika ditanya mengapa dia sanggup berada di LTSAS ketika ramai orang masih diulit mimpi.
Rama berharap pengganti Wan Khair-il dapat meneruskan legasi Allahyarham dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai di Kuala Kangsar.