top of page

Pelajar Teruja Guru Pakai Baju Sekolah

muinsapidin

PARIT BUNTAR – Aksi guru lengkap berpakaian seragam sekolah, acara sukaneka dan bom belon antara kemeriahan mewarnai sambutan hari guru di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Pekan Baru di sini.

Tepat pada jam 8 pagi, sejumlah 43 guru-guru lengkap berpakaian sekolah membuat gimik khas menuruni sebuah bas sekolah, diarak dengan paluan kompang sebelum menerima tepukan gemuruh hampir 500 pelajar di dataran perhimpunan pagi sekolah itu.

Pengetuanya, Abdul Khalim Ishak berkata, acara julung kali itu diadakan bagi mengembalikan nostalgia zaman persekolahan kepada guru-guru sekolah berkenaan.

Menurutnya, idea tema 'Back To School' bagi sambutan Hari Guru tahun ini dijana oleh Badan Pengawas dan Kelab Guru SMK Pekan Baru dan mendapat sambutan hangat terutama daripada kalangan pelajar sekolah sendiri.

"Pada hari ini, pelbagai aktiviti diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah ini meraikan jasa guru-guru yang mendidik mereka sejak memasuki tingkatan 1 lagi.

"Antara acara dianjurkan seperti acara sukaneka, upacara memotong kek sambutan Hari Guru disumbangkan Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Md Ali, acara penyampaian hadiah oleh para pelajar dan aktiviti bom belon,"katanya.

Abdul Khalim berkata, ini adalah kali pertama sambutan Hari Guru dibuat penuh meriah dengan guru-gurunya sekali memakai pakaian seragam.

"Lucu juga sebab semua nampak sama hari ini. Murid-murid pun tak habis-habis mengusik guru-guru,"katanya.

Abdul Khalim turut berharap sambutan Hari Guru menjadi pemangkin kepada guru-guru dan pelajar SMK Pekan Baru untuk mengekalkan komitmen dan kecemerlangan akademik diperolehi pada tahun lalu.

"Tahun lalu, kita memperolehi pencapaian akademik amat membanggakan dalam beberapa peperiksaan utama sehingga diberikan penghargaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

"Kita berharap pencapaian sahaja bukan sahaja dikekalkan, malah mampu dipertingkatkan pada tahun ini dengan berkat komitmen, kesungguhan dan daya usaha guru-guru, pelajar dan ibu bapa,"katanya.

.


bottom of page