top of page
muinsapidin

Calon PRK: Pemuda UMNO Hantar Nama

KUALA KANGSAR - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menghantar beberapa nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, nama-nama itu telah pun dihantar melalui ketua sayap parti itu Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata beliau, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk memilih calon yang sesuai.

“Setiap kali berlakunya PRU atau PRK, sudah tentu menjadi tanggungjawab Ketua Pemuda untuk mengangkat nama-nama yang kita rasakan sesuai dan mempunyai kredibiliti.

“Sudah tentu kita menghantar, ada nama dari kalangan pemimpin tempatan dan luar juga,” katanya selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas bersama Pergerakan Pemuda UMNO Perak di Kuala Kangsar pada Ahad.

Menurut Azwan, Pemuda UMNO telah pun memulakan gerak kerja dan bersiap siaga untuk menghadapi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada bulan hadapan.

“Jentera Pemuda telah diminta mengambil pendekatan sebagai salesman atau ejen pemasaran. Kita mesti mempunyai kemahiran dan kebijaksanaan sebagai salesman dalam usaha mempromosikan produk kita.

“Dalam konteks PRK ini, sudah tentu BN dan calon kita menjadi produk kita dan kita akan pasarkan mereka ini,” jelasnya.

Azwan memberitahu, terdapat lebih 11,000 pengundi muda di Kuala Kangsar atau kira-kira 35 peratus.daripada jumlah keseluruhan lebih 33,000 pengundi.

Beliau yakin tidak ada isu besar di PRK Kuala Kangsar kerana kebanyakannya telah diselesai oleh Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang amat memahami aspirasi golongan muda.

"Tambahan pula, banyak isu besar di DUN Manong, DUN Bukit Chandan dan Parlimen Kuala Kangsar keseluruhannya juga telah diselesaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir," ujarnya.

Beliau juga yakin isu-isu nasional yang telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu tidak akan memberi impak yang besar kepada pengundi di Kuala Kangsar.


8 views0 comments
bottom of page