IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak membayangkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini. Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ia sejajar dengan ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat khas yang dihadiri pimpinan pakatan pembangkang Perak hari ini.
Para pimpinan pakatan pembangkang yang menghadiri mesyuarat khas bagi persediaan PRK Kuala Kangar di Ipoh petang Sabtu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat untuk memberi ruang kepada PAS bertanding pada PRK itu sekaligus memastikan berlaku satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).
"Kami telah mengadakan mesyuarat majlis pimpinan negeri dan sepakat untuk mengambil keputusan tersebut.
"Semua komponen Pakatan Harapan juga berjanji akan menggerakkan jentera parti masing-masing untuk mempastikan kemenangan rakan dalam Pakatan seandainya wakil Pakatan diberi peluang untuk bertanding samada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar," katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Sabtu.
Bagaimanapun, beliau turut membayangkan kemungkinan pakatan pembangkang akan meletakkan calon mereka pada PRK Parlimen Sungai Besar.
Menurut Mohammad Nizar, bagi persediaan PRK Kuala Kangsar, Jawatankuasa Kerja PRK pakatan pembangkang Perak juga telah ditubuhkan.
Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh beliau sendiri dengan beberapa ahli, termasuk Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama TLDM (B) Mohd Imran Abd Hamid dan ADUN Tronoh, Yong Choo Kiong. - Suara Perak