IPOH - Jabatan Imigresen Perak menahan 46 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita rakyat Thailand yang sedang membeli sayur dalam satu operasi yang dijalankan di Pasar Borong Awam, Jalan Kuala Pari, Ipoh awal pagi Sabtu.
Timbalan Pengarah Imigresen Perak, Sharmanrizal Rustam berkata, dalam Ops Ikrar yang bermula 4.30 pagi hingga 9 pagi itu, seramai 65 orang anggota Imigresen yang diketuai Ketua Penguatkuasa Imigresen Perak, Ahmad Puat memeriksa 50 orang PATI di pasar berkenaan sebelum menahan 46 darinya.
Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Myanmar, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja, India dan Bangladesh.
``Kita telah membuat intipan selama sebulan sebelum menjalankan operasi ini dan mendapati kesemua PATI yang ditahan tidak mempunyai dokumen dan permit perjalanan yang sah.
``Walaupun warga asing ini datang membeli di pasar borong tetapi tidak mempunyai permit perjalanan yang sah, maka mereka juga turut ditahan kerana melakukan kesalahan Imigresen,’’ katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di pasar borong awam berkenaan pada Sabtu.
Menurut Sharmanrizal, kesemua PATI itu kini sedang disoal siasat mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan apabila selesai siasatan mereka akan dihantar ke Pusat Tahanan Imigresen, Langkap.