BUKIT MERAH: Pulau Orang Utan yang ditutup berikutan fenomena El Nino sejak 11 April lalu akan dibuka semula kepada pengunjung mulai esok (Jumaat).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Orang Utan, Dr D Sabapathy berkata, pusat konservasi orang utan itu boleh dikunjungi orang ramai berikutan peningkatan paras air di Tasik Bukit Merah setinggi satu meter baru-baru ini.
Menurut beliau, peningkatan itu memberi impak positif terutamanya dari segi pelancongan eko dan pendidikan konservasi orang utan yang telah berhenti selama 30 hari berikutan cuaca kering.
“Perubahan baik ini bermakna kita sudah boleh menggunakan perkhidmatan bot yang sebelum ini diberhentikan dan ini juga bermakna kita sudah boleh mencari dana dari pelancongan eko untuk membiayai pendidikan dan penyelidikan kita,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Teater, Pulau Orang Utan pada Khamis.
Menurut Dr Sabapathy, berikutan pembukaan semula pulau itu, pihaknya akan memberikan diskaun harga tiket selama sebulan mulai 13 Mei dan berharap ia akan meningkatkan jumlah pengunjung. "Kadar bayaran tiket promosi ialah RM25 seorang bagi dewasa berbanding RM30 sebelum ini, manakala kanak-kanak ialah RM15 berbanding RM18 seorang," ujarnya. Dr Sabapathy berkata, pulau itu ditutup sejak April lalu dan pihaknya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM250,000 kerana tidak menerima sebarang pengunjung, sedangkan kos operasi bulanan adalah antara RM150,000 hingga RM200,000. Beliau memberitahu, tahun lalu, pulau itu menerima 45,000 pengunjung dengan 80 peratus daripadanya adalah dari luar negara seperti Jepun, Arab Saudi, Itali dan Amerika Syarikat. “Bagi tahun ini, kami mensasarkan jumlah itu akan meningkat kepada 55,000 orang dan berharap sokongan padu daripada pihak tempatan akan bertambah,” katanya.
Selain itu, kata beliau, pihaknya turut mengharapkan sumbangan ikhlas, baik dari segi kewangan, makanan dan ubat-ubatan dapat diberikan kepada spesis orang utan.
Pulau Orang Utan tersebut yang dibuka sejak tahun 2000, kini memelihara 24 ekor mamalia berkenaan yang berumur antara tiga bulan hingga 30 tahun.