KUALA KANGSAR: Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Makkal Sakti berharap calon yang akan bertanding bagi jawatan Ahli Parlimen Kuala Kangsar P067 merupakan calon tempatan.
Pengerusi PPP Bahagian Kuala Kangsar, Rosli Abdul Manaf berkata kriteria utama bagi calon yang akan meneruskan legasi arwah Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad seharusnya seseorang yang sentiasa bersama dengan rakyat dan dapat bergaul dengan semua parti komponen lain.
Ditanya tentang ura-ura kemungkinan kekosongan itu bakal diisi isteri kepada arwah Datuk Wan Mohd Khair-il, Rosli berpendapat perkara tersebut akan mewujudkan ruang besar bagi pihak pembangkang untuk melabel Barisan Nasional sebagai parti yang mengamalkan kronism.
"Kami rasa lebih elok jika mereka yang sedang bersedih dibiarkan berehat. Lagi pun, kita tidak mahu timbul isu kroni dalam pencalonan sehingga dimanulasi pembangkang sekaligus menggugat peluang BN menang.
"Kita berharap agar ada penambahbaikan dalam proses pemilihan calon kali dan tidak ketepikan pandangan parti komponen BN kerana seingat kami selepas pilihan raya lepas kami terus dibiarkan,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Kangsar pada petang Khamis.
Katanya, PPP mempunyai toleransi kepada calon dari luar namun calon berkenaan haruslah individu yang boleh mendengar masalah parti komponen selain dapat duduk semeja dan berbincang termasuk dengan pembangkang bagi tujuan pembangunan setempat.
Rosli mengesa pucuk pimpinan memilih calon tanpa mengetepikan pandangan empat parti komponen di Kuala Kangsar dan pemimpin akar umbi agar tidak wujud perpecahan.
Pengerusi Makkal Sakti Bahagian Kuala Kangsar, S. Kaliappan pula berkata sejak tiga tahun selepas PRU ke-13 berlangsung, Makkal Sakti sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) Mesra BN telah dipinggirkan.
"Janganlah masa pilihan raya sahaja baru nak kami,mana perginya slogan 'tiada tertinggal tiada terpinggir'. Kita sokong penuh BN, janganlah buat kami macam ini," ujarnya.
Tegasnya, masih terdapat masalah di sekitar Kuala Kangsar yang masih belum dapat diselesaikan termasuklah konflik dalaman parti melibatkan UMNO, justeru calon tersebut diharapkan dapat membawa satu perubahan dan penambahbaikan selepas pilihan raya.
"Kami mahu sokong calon baru itu nanti kerana mahu pastikan BN menang PRK ini,'' katanya.
Difahamkan, jumlah keseluruhan ahli PPP dan Makkal Sakti di Kuala Kangsar sekitar 1,500 orang. - Suara Perak