top of page
muinsapidin

Orang Asli Ulu Bekor Imbas Kenangan Terakhir Bersama Wan Khair-il

Program ramah mesra bersama komuniti Orang Asli Kampung Ulu Bekor, Manong merupakan antara program terakhir arwah Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad di kawasan parlimen Kuala Kangsar.

Tok Batin Kampung Ulu Bekor, Itam Chu, 51, berkata pada program 30 April itu arwah meluangkan masa agak lama untuk bersama-sama masyarakat Orang Asli yang sememangnya rapat dan mengenalinya.

Katanya ahli parlimen masih sempat meluangkan masa untuk bersama mereka walaupun baru sahaja tiba dari luar negara.

“Ketika menyambut ketibaannya, dia nampak penat kerana baru pulang dari luar negara. Walaupun penat dia tetap datang untuk bersama kami dan senyuman tidak pernah lekang di wajahnya.

“Pada hari tersebut, seperti biasa dia amat mesra dengan anak-anak kami, kaum wanita dan belia sebab dia memang selalu jenguk kampung dan kami kenal rapat dengannya,” katanya.

Pada majlis itu, Wan Khair-il telah memberi ‘buat tangan’ istimewa kepada komuniti Orang Asli di situ dengan meluluskan pembinaan sebuah taman permainan kanak-kanak untuk penempatan itu berjumlah RM 20,000.

"Selepas buat pengumuman, dia menyertai kami menari tarian Sewang dan tidak menolak permintaan kami untuk sampaikan satu lagu. Dia hanya pulang ketika hari sudah hampir gelap.

"Sedikit pun, kami tidak menyangka itu merupakan majlis dan kali terakhir kami melihat dia. Bila dikenang memang sedih kerana kami senang dengan dia sebagai wakil rakyat kami,” katanya.

Itam Chu berkata keperibadian Wan Khair-il yang lembut, peramah dan senang bergaul menjadikan dirinya seorang wakil rakyat yang amat disenangi di Kuala Kangsar termasuk komuniti Orang Asli di situ.

Wan Khair-il terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar sepenggal setelah memenangi Pilihanraya Umum pada 2013.

Sebelum itu, beliau telah berkhidmat sebagai ADUN Bukit Chandan selama dua penggal sejak memenangi kerusi itu pada 2008. - Suara Perak


29 views0 comments
bottom of page