IPOH - Karnival Moh Niaga! sempena Minggu Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) di Stadium Mini Bagan Serai, Kerian bermula 20 hingga 22 Mei ini menyasarkan 5,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, penganjuran program bertemakan “Mula Berdikit, Azam Melangit” itu akan menampilkan perbezaan kerana ia dilaksanakan bersempena Program Pemukiman Daerah Kerian Menteri Besar Perak.
Menurut beliau, seramai 100 usahawan Perak yang terdiri dari belia, wanita dan lain-lain akan mempamerkan produk mereka di karnival itu.
“Antara program menarik telah dirancang adalah jualan produk ushawan, mini karnival food truck, car boot sale, ceramah agama, sesi taklimat teknologi pembungkusan, taklimat pembiayaan oleh Bank Negara Malaysia, servis motosikal percuma dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu sidang media di SUK pada Khamis.
Samsudin berkata, program itu diharapkan dapat memberi peluang kepada masyarakat umum mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat megnenai langkah untuk memulakan perniagaan.
“Ianya juga untuk memajukan perniagaan mereka termasuk pembiayaan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pembangunan usahawan,” ujarnya.
Program itu merupakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri dengan SME Corp., Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Mara dan Tekun.
Minggu PKS adalah satu program tahunan anjuran SME Corp. yang telah bermula sejak tahun 2012 di seluruh negara secara serentak selama seminggu pada penghujung Mei setiap tahun.
Sebanyak 16 aktiviti telah dirancang untuk dilaksakan di seluruh negeri Perak termasuklah pameran dan karnival jualan produk PKS, kaunter maklumat, sesi perkongsian pengalaman, seminar pembungkusan, bengkel, forum keusahawanan, pokcet talk, business matching, klinik usahawan dan kaunter maklumat.