IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima seorang Ahli Majlis baharu bagi menggantikan Datuk Abu Bakar Said yang kini menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pengurusan. Nor Eni Ismail, 46, mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis di hadapan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man pada majlis angkat sumpah yang berlangsung di Dewan Mesyuarat MBI di sini, hari ini. Zambri berkata dengan pelantikan Nor Eni diharap dapat menyuntik semangat baharu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Ipoh.
Datuk Bandar menyampaikan watikah pelantikan kepada Nor Eni Ismail.
"Saya yakin pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf beliau sebagai wakil kerajaan negeri dalam MBI, malah menggambarkan kepercayaan dan keupayaan beliau melaksanakan peranan serta tanggungjawab berdasarkan pengalamannya sebelum ini," katanya ketika berucap pada majlis itu. Dalam pada itu, beliau juga menyeru setiap Ahli Majlis MBI supaya terus melaksanakan aktiviti 'turun padang' di zon masing-masing untuk mendekati masyarakat. Sementara itu, Nor Eni yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Belanjawan, Kementerian Kewangan selama 10 tahun, berharap ahli-ahli Majlis yang lain dapat bekerjasama dengannya serta menjalankan tugas dengan baik. "Ini adalah kali pertama saya ditugaskan di kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), justeru itu saya berharap semua Ahli Majlis agar dapat membantu MBI mencapai pengiktirafan lima bintang sekali gus menjadi antara PBT terbaik di negara ini," katanya. MBI kini mempunyai 23 Ahli Majlis terdiri daripada usahawan, peguam, jurutera dan ahli politik yang dipecahkan untuk menjaga lima zon di bawah pengurusan MBI iaitu Hulu Kinta, Buntong, Pasir Pinji, Menglembu dan Simpang Pulai - Bernama