KUALA KANGSAR: UMNO Bahagian Kuala Kangsar masih belum membincangkan mengenai calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
Sebaliknya, kata Pemangku Ketua Bahagian UMNO Kuala Kangsar, Mohd Kamil Shafie pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon yang difikirkan sesuai.
Beliau yang juga ADUN Manong berkata, keseluruhan jentera kerja telah bersiap siaga untuk menghadapi PRK akan datang, namun masih menghormati keputusan pihak atasan bagi penamaan calon.
"Kami tidak menolak sebarang penamaan calon luar atau calon tempatan bagi PRK kali ini kerana kami mempercayai keputusan pucuk pimpinan tertinggi dan kami akan teguh dalam solidariti sebagai satu gerak kerja bagi pilihan raya ini.
"Mesyuarat khas kali ini adalah untuk membincangkan struktur organisasi PRK bahagian yang melibatkan DUN Bukit Chandan serta DUN Manong dan tidak melibatkan mana-mana nama calon kami kepada pihak pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Gerak Kerja Jentera PRK UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Persisiran Sayong pada petang Rabu.
Mohd Kamil berkata, buat masa ini pihaknya diamanahkan untuk meneruskan semua kerja dan tanggungjawab Allahyarham Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad di Parlimen Kuala Kangsar, terutamanya yang melibatkan kebajikan, pendidikan dan keagamaan.
Menurut beiau, pihaknya telah berbincang dengan sahabat parti lain seperti MIC, MCA, PPP, Makkal Sakti dan NGO-NGO terlibat bagi mempersiapkan gerak kerja untuk menghadapi PRK nanti.
"Ini adalah perjumpaan pertama kami dan kami ingin merakamkan takziah kepada seluruh keluarga dan mereka yang bersama kami dalam menangisi pemergian Allahyarham Datuk Wan.
"Kerja dan amanah kepada rakyat harus diteruskan dan kami hanya mengharapkan agar pengganti Allahyarham dapat meneruskan legasi kerja terhadap pembangunan di Kuala Kangsar secara menyeluruh," ujarnya.