SHAH ALAM - Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai rakaman seorang warden memukul pelajar sekolah yang viral di laman sosial.
Melalui perkongsian di laman Facebook Polis Diraja Malaysia, sebuah laporan polis telah dibuat seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun di IPD Sg. Buloh.
"Kejadian berlaku pada 3 Mei lebih kurang jam 5.30 petang di Asrama Kasih, Kolej Vokasional Sg. Buloh, Selangor," kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Katanya, pihak polis telah memulakan siasatan di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.
"Saya memberi jaminan siasatan berhubung perkara ini telah dan sedang dijalankan secara telus dan teliti," akhiri beliau.
Semalam, beberapa perkongsian bertajuk 'Warden pijak pelajar' mula viral di laman sosial Facebook.
Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki dilihat memukul seorang pelajar lelaki di bahagian tangga sebuah bangunan.