KUALA KANGSAR - UMNO telah kehilangan seorang pemimpin seperti Allahyarham Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang sangat berdedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, beliau amat mengenali rapat dengan allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
Katanya, rakyat Kuala Kangsar khususnya amat merasai akan pemergian allahyarham yang selama ini telah banyak menabur bakti dan jasa kepada mereka.
``Allahyarham merupakan sahabat baik saya dan kekanda politik saya yang banyak mengajar dan membimbing saya dalam kerjaya politik," katanya kepada pemberita selepas menziarahi isteri Allahyarham Datin Mastura dan keluarga di Kuala Kangsar pada Ahad.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menghabiskan masa lebih sejam bersama keluarga allahyarham.
Allahyarham Wan Khair-il merupakan antara enam orang temasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sarawak baru-baru ini.