TELUK INTAN: Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh daripada Jambatan Sultan Yusuf, Batu 5, Teluk Intan sejak pagi Ahad akhirnya ditemui pada petang Isnin.
Mangsa, Lim Chee Keong, 51 ditemui dalam keadaaan terapung sekitar pukul 1.48 petang di sekitar Teluk Bharu oleh anggota bomba setelah operasi mencari dan menyelamat berjalan lebih daripada 24 jam.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Penolong Penguasa Bomba Zulkafle Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 11.07 pada pagi Ahad sebelum memulakan operasi berkenaan.
“ Mangsa dijumpai oleh golongan nelayan yang kemudiannya menghubungi pihak kami, dan kami menjumpai mangsa dalam keadaan terapung.
“ Operasi membawa mangsa ke tebing telah dilaksanakan dengan bantuan beberapa agensi yang lain,” katanya kepada Suara Perak pada petang Isnin.
Katanya, keseluruhan operasi mencari dan menyelamat melibatkan sekitar 25 anggota terdiri daripada pihak bomba, PDRM, JPAM dan PPDA.
Zulkafle berkata, pihaknya turut menggunapakai 5 buah bot untuk melakukan pencarian mangsa dengan teknik “surface searching” berhampiran kawasan mangsa dipercayai terjatuh.